Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN

Wang pendahuluan pinjaman (WPP) PTPTN yang bernilai RM1500.00 telah disedikan oleh pihak PTPTN sebagai persediaan peminjam (pelajar) sebelum mendaftar di Universiti Awam termasuk ke Politeknik. WPP ini hanya akan diberi kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan untuk mendapat WPP PTPTN sahaja. Maklumat dan panduan penting pemberian WPP dibentangkan di halaman ini bagi tujuan rujukan pemohon.

Syarat-Syarat Pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN

Pelajar yang layak mendapat WPP perlu memenuhi kriteria seperti berikut:

  1. Pelajar adalah Warganegara Malaysia.
  2. Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).
  3. Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja.
  4. Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.
  5. Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP.

Syarat-syarat lain pemberian WPP adalah tertakluk kepada pihak PTPTN bagi tujuan memastikan pelajar adalah layak menerima WPP semasa membuat permohonan pinjaman PTPTN.

Panduan Permohonan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN

Permohonan WPP PTPTN adalah dengan menanda Setuju untuk menerima WPP PTPTN semasa membuat permohonan UPU secara online.

Semakan Tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN

Berikut adalah panduan penyemakan tawaran WPP PTPTN secara atas talian/online untuk rujukan pelajar.

  1. Layari laman Semakan Tawaran WPP PTPTN.
  2. Sila masukkan nombor kad pengenalan baru untuk membuat carian.
  3. Cetak surat tawaran WPP PTPTN untuk rujukan pelajar.

Pelajar juga boleh menyemak tawaran WPP melalui khidmat sistem pesanan ringkas. Format semakan adalah seperti di bawah:

  1. Taip PTPTN WPP <no kad pengenalan> 
  2. Hantar ke 15888
    Contoh: PTPTN WPP 920000045555 dan hantar ke 15888

Nota: Kelewatan penerimaan SMS mungkin berlaku akibat trafik semakan yang tinggi

Panduan Penerimaan Tawaran WPP PTPTN

Sekiranya pelajar ditawarkan WPP PTPTN, pelajar perlu melakukan perkara – perkara berikut:

  1. Cetak surat tawaran WPP daripada portal rasmi PTPTN.
  2. Proses tunaikan WPP hanya boleh dilakukan oleh pelajar/pemohon sahaja di mana-mana kaunter Bank Islam dengan membawa dokumen berikut:
    1. Surat tawaran WPP yang dicetak daripada portal rasmi PTPTN
    2. MyKad pelajar (Wakil adalah tidak dibenarkan)

Untuk makluman pelajar, tempoh sahlaku tawaran adalah 2 bulan dari tarikh dikeluarkan. Sekiranya pelajar tidak berhasrat untuk menggunakan WPP, pelajar hanya perlu mengabaikan proses tunaikan WPP tersebut. Pemotongan sebanyak RM500.00 pada setiap semester daripada jumlah pinjaman PTPTN akan dibuat secara automatik apabila pinjaman diluluskan.

Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN

Sebarang maklumat penting tentang WPP PTPTN adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melalui talian 03-2193 3000 atau melalui e-Aduan: iCare.