Permohonan terjemahan keputusan PMR boleh dibuat di Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia secara walk-in atau dengan menggunakan khidmat kiriman pos. Lembaga Peperiksaan (LP) hanya menyediakan khidmat terjemahan keputusan ke dalam Bahasa Inggeris sahaja. Calon dinasihati untuk merujuk panduan permohonan terjemahan keputusan PMR di halaman ini terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.
Panduan Permohonan Terjemahan Keputusan PMR
Untuk maklmuman pemohon, mulai 16 Oktober 2018, perkhidmatan terjemahan keputusan ini dikenakan bayaran sebanyak RM30.00 sesalinan. Maklumat dan panduan lanjut adalah seperti di bawah.
A. Walk-in ke LP
Pemohon atau Wakil (terdiri daripada Ibu bapa/suami/isteri/adik beradik yang dilantik secara bertulis melalui surat pelantikan wakil) perlu mengemukakan dokumen seperti dinyatakan di bawah sebagai rujukan pegawai yang bertugas semasa melakukan permohonan. Dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan terjemahan adalah:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Kad pengenalan pemohon
- Sijil/Pernyataan keputusan PMR yang asal atau
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan PMR yang disahkan
- Wang tunai berjumlah RM30.00
Manakala jika pemohon telah melantik wakil secara bertulis untuk hadir membuat permohonan, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan
- Sijil/Pernyataan keputusan PMR yang asal atau
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan PMR yang disahkan
- Surat Perlantikan Wakil LP/SIJIL/Pin 1/96c
- Wang tunai berjumlah RM30.00
Pemohon atau wakil perlu mengemukakan semua dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan terjemahan ke alamat berikut:
Kaunter Perkhidmatan Sijil LP di Aras Bawah, Blok E11, Kompleks E, Putrajaya.
Tempoh pengeluaran terjemahan keputusan PMR di kaunter LP adalah selama tujuh (7) hari bekerja.
B. Kiriman Pos
Pemohon yang menggunakan perkhidmatan kiriman pos untuk permohonan terjemahan perlu menghantar beberapa dokumen seperti:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Kiriman Wang / Wang Pos berjumlah RM30.00 ke atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA
- Salinan kad pengenalan pemohon yang disahkan
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan PMR yang disahkan
- Sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran salinan keputusan PMR
ke alamat berikut:
PENGARAH PEPERIKSAAN,
LEMBAGA PEPERIKSAAN,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA,
ARAS 10, BLOK E11, KOMPLEKS E,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
62604 PUTRAJAYA
Tel : 03-88843526 / 3528
Untuk makluman, semua permohonan melalui pos akan diproses dalam masa tujuh (7) hari bekerja tanpa mengira hari perjalanan pos. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses. Sebarang maklumat penting tentang panduan permohonan terjemahan keputusan PMR adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Unit Pensijilan, Lembaga Peperiksaan di talian 03-8884 3526/3528.