Permohonan pengesahan keputusan SPM/PMR perlu dibuat secara bertulis kepada Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk makluman, permohonan pengesahan boleh dibuat melalui Kaunter Urusan Perkhidmatan LP atau melalui kiriman pos. Halaman ini menyediakan panduan dan maklumat penting panduan permohonan pengesahan keputusan SPM/PMR bagi rujukan pemohon.
Panduan Permohonan Pengesahan Keputusan SPM/PMR
Berikut dikongsikan panduan permohonan pengesahan keputusan:
A. Walk-in ke LP
Pemohon perlu menyediakan lampiran dokumen seperti berikut semasa membuat permohonan di Kaunter Urusan Perkhidmatan LP bagi rujukan pegawai yang bertugas. Lampiran dokumen yang diperlukan adalah:
- Surat secara bertulis kepada Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pelajaran Malaysia
- Salinan Sijil/Salinan Keputusan SPM/Salinan Keputusan PMR yang disahkan
- Wang tunai berjumlah RM50.00 dari orang perseorangan, agensi kerajaan dan swasta atau mana-mana pihak lain dikenakan untuk bayaran proses secara tunai di kaunter
B. Perkhidmatan Kiriman Pos
Pemohon juga boleh menggunakan perkhidmatan kiriman pos untuk memohon terjemahan keputusan SPM/PMR di mana calon perlu menghantar dokumen yang lengkap ke alamat berikut:
PENGARAH PEPERIKSAAN
LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 11, BLOK E11, KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(u.p.: SEKTOR PEMBANGUNAN DASAR
DAN PERKEMBANGAN)
Dokumen yang diperlukan adalah:
- Surat secara bertulis kepada Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pelajaran Malaysia
- Salinan Sijil/Salinan Keputusan SPM/Salinan Keputusan PMR yang disahkan
- Kiriman Wang / Wang Pos berjumlah RM50.00 ke atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA. Cek persendirian tidak diterima. Kiriman Wang / Wang Pos ini dikenakan kepada orang perseorangan, agensi kerajaan dan swasta atau mana-mana pihak lain untuk bayaran proses
- Sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran pengesahan keputusan
Permohonan pengesahan keputusan SPM/PMR akan dijawab melalui surat rasmi kepada pemohon. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses. Sebarang maklumat penting tentang panduan permohonan pengesahan keputusan pepriksaan adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Unit Pensijilan, Lembaga Peperiksaan di talian 03-8884 3526/3528.