Permohonan terjemahan keputusan SPM ke dalam Bahasa Inggeris boleh dilakukan dengan secara terus di Lembaga Peperiksaan (LP) atau melalui khidmat kiriman pos. Untuk makluman semua, keputusan SPM hanya boleh diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris sahaja. Berikut dikongsikan panduan permohonan terjemahan keputusan SPM bagi rujukan pemohon.
Panduan Permohonan Terjemahan Keputusan SPM
Terdapat dua cara permohonan yang dikongsikan pada ruangan ini iaitu secara Walk-in dan secara kiriman pos.
A. Walk-in ke LP
Pemohon atau Wakil (terdiri daripada Ibu bapa/suami/isteri/adik beradik yang dilantik secara bertulis melalui surat pelantikan wakil) perlu mengemukakan semua dokumen seperti berikut semasa membuat permohonan bagi rujukan pegawai LP yang bertugas. Dokumen yang berikut adalah:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Kad pengenalan pemohon
- Sijil/Pernyataan keputusan SPM yang asal atau
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan SPM yang disahkan
- Wang tunai berjumlah RM30.00
Sekiranya wakil pemohon yang hadir, dokumen yang diperlukan adalah:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan
- Sijil/Pernyataan keputusan SPM yang asal atau
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan SPM yang disahkan
- Surat Perlantikan Wakil LP/SIJIL/Pin 1/96c
- Wang tunai berjumlah RM30.00
Pemohon atau wakil pemohon perlu menyerahkan semua dokumen yang diperlukan di Kaunter Perkhidmatan Sijil LP di Aras Bawah, Blok E11, Kompleks E, Putrajaya. Tempoh pengeluaran terjemahan keputusan SPM di kaunter LP adalah seperti berikut:
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau selepas 2000 – satu (1) jam
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau sebelum 1999 – tujuh (7) hari bekerja
- Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bagi semua tahun – tujuh (7) hari bekerja
B. Kiriman Pos
Permohonan terjemahan keputusan SPM boleh juga dilakukan dengan menggunakan khidmat kiriman pos di mana calon perlu menghantar dokumen yang diperlukan ke alamat berikut:
PENGARAH PEPERIKSAAN,
LEMBAGA PEPERIKSAAN,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA,
ARAS 10, BLOK E11, KOMPLEKS E,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
62604 PUTRAJAYA
Tel : 03-88843526 / 3528
Senarai dokumen yang diperlukan adalah:
- Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96b yang lengkap diisi
- Kiriman Wang / Wang Pos berjumlah RM30.00 ke atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA
- Salinan kad pengenalan pemohon yang disahkan
- Salinan Sijil/Pernyataan Keputusan SPM yang disahkan
- Sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran salinan keputusan SPM
Semua permohonan melalui pos akan diproses dalam masa tujuh (7) hari bekerja tanpa mengira hari perjalanan pos. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses. Sebarang maklumat penting tentang panduan permohonan terjemahan keputusan SPM adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Unit Pensijilan, Lembaga Peperiksaan di talian 03-8884 3526/3528.