Permohonan Sijil Matrikulasi KPM

Bekas pelajar lulusan Program Matrikulasi – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mendapatkan Sijil mereka dengan mengemukakan permohonan seperti panduan di bawah. Permohonan Sijil ini akan dipertimbangkan berdasarkan syarat-syarat penganugerahan Sijil Matrikulasi. Berikut adalah panduan permohonan.

Panduan Permohonan Sijil Matrikulasi KPM

A. Permohonan Baharu

Untuk permohonan baharu, pelajar perlu menyediakan

  1. Borang permohonan (BMKPM/UDM-05).
  2. Salinan kad pengenalan pelajar yang telah disahkan oleh Pegawai Kerajaan Kumpulan A.
  3. Surat rasmi permohonan sijil matrikulasi (BMKPM/UDM-06) yang mengandungi maklumat seperti Nama Penuh, No. Kad Pengenalan, No. Matrik Pelajar, Sesi Pengajian, Kolej Pengajian, Jurusan serta Alamat surat-menyurat.

B. Permohonan Hilang / Rosak

Bagi permohonan sijil yang disebabkan hilang atau rosak, pelajar perlu menyediakan

  1. Bayaran dalam bentuk Wang Pos /  Bank Draf dengan kadar bayaran sebanyak RM50.00 diatas nama Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia. Bayaran dalam bentuk tunai atau cek peribadi tidak akan diterima. Sila ambil maklum tempoh sah laku Wang Pos / Bank Draf sebelum mengemukakan permohonan.
  2. Borang permohonan (BMKPM/UDM-05).
  3. Salinan kad pengenalan pelajar yang telah disahkan oleh Pegawai Kerajaan Kumpulan A.
  4. Surat rasmi permohonan sijil matrikulasi (BMKPM/UDM-06) yang mengandungi maklumat seperti Nama Penuh, No. Kad Pengenalan, No. Matrik Pelajar, Sesi Pengajian, Kolej Pengajian, Jurusan serta Alamat surat-menyurat.

Borang permohonan sijil matrikulasi KPM (BMKPM/UDM-05) boleh dimuat turun melalui Portal Rasmi KPM di laman muat turun borang bahagian matrikulasi atau menerusi link https://www.moe.gov.my/index.php/muat-turun/borang/matrikulasi/133-borang-permohonan-sijil-matrikulasi-kpm/file. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar bersama dokumen yang diperlukan menerusi e-mel ke [email protected] atau melalui pos ke alamat:

BAHAGIAN MATRIKULASI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 6&7, BLOK E15
KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Setiap permohonan akan diselesaikan dalam tempoh 30 hari pekerja dari tarikh penerimaan lengkap permohonan. Setiap permohonan Sijil Matrikulasi KPM hendaklah dipohon terlebih dahulu dan permohonan secara walk-in yang memerlukan pada hari yang sama tidak akan dilayan sama sekali.

Penyerahan Sijil Matrikulasi KPM

Penyerahan sijil boleh dilakukan melalui dua cara iaitu:

A. Walk-in ke Bahagian Matrikulasi

Pemohon atau Wakil (dilantik secara bertulis melalui surat pelantikan wakil, BMKPM/UDM-07) perlu membawa dokumen pengenalan diri bersama untuk rujukan pegawai Bahagian Matrikulasi yang bertugas. Borang akuan penerimaan sijil (BMKPM/UDM-08) akan dikeluarkan oleh pegawai bertugas dan perlu disahkan oleh pemohon / wakil pemohon semasa mengambil dokumen. Pemohon boleh menghubungi pihak bertugas terlebih dahulu untuk mendapatkan status permohonan sijil sebelum mengambil sijil.

B. Pos Laju

Pemohon perlu menyediakan POSLAJU PraBayar Sampul L (Sampul Oren – Di antara Semenanjung ATAU Sampul Biru – Diantara Semenanjung ke Sarawak/Sabah) yang beralamat sendiri (diisi dengan lengkap dan jelas) bersama nama pemohon dan maklumat untuk dihubungi pada ruangan penerima. Nombor rujukan POSLAJU PraBayar Sampul L perlu dinyatakan dalam borang permohonan dan sampul tersebut perlu dihantar sekali bersama dengan borang permohonan serta dokumen yang dinyatakan seperti di atas.

Sebarang maklumat penting tentang panduan permohonan sijil matrikulasi KPM adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Bahagian Matrikulasi melalui talian 03 8884 4083 atau melalui email : [email protected].