Permohonan Salinan Keputusan SPM

Permohonan salinan keputusan SPM boleh dibuat sekiranya calon kehilangan atau mengalami kerosakan pada sijil SPM mereka. Calon boleh mengemukakan permohonan secara terus di Lembaga Peperiksaan (LP) untuk mendapatkan salinan keputusan SPM. Permohonan ini boleh dibuat melalui 2 cara iaitu secara walk in ke LP atau melalui kiriman pos. Halaman ini menyediakan maklumat dan panduan penting permohonan salinan keputusan SPM untuk rujukan calon.

Panduan Permohonan Salinan Keputusan SPM

Berikut dikongsikan langkah mudah untuk membuat permohonan salinan keputusan SPM.

A. Walk-in ke LP

Pemohon atau Wakil (terdiri daripada Ibu bapa/suami/isteri/adik beradik yang dilantik secara bertulis melalui surat pelantikan wakil) perlu membawa dokumen seperti dinyatakan di bawah untuk rujukan pegawai LP yang bertugas. Dokumen yang diperlukan sekiranya pemohon mengambil sendiri salinan SPM adalah:

  1. Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96a yang lengkap diisi
  2. Kad pengenalan pemohon
  3. Salinan keputusan SPM jika ada
  4. Wang tunai berjumlah RM30.00

Manakala, dokumen yang diperlukan sekiranya pemohon melantik wakil untuk mengambil salinan keputusan SPM adalah:

  1. Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96a yang lengkap diisi
  2. Salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan
  3. Salinan keputusan SPM yang disahkan jika ada
  4. Surat Perlantikan Wakil LP/SIJIL/Pin 1/96c
  5. Wang tunai berjumlah RM30.00

Pemohon atau wakil perlu mengemukakan dokumen tersebut di kaunter sijil yang terletak di Lobi Utama, Aras Bawah, Blok E11, Lembaga Peperiksaan, Putrajaya. Tempoh pengeluaran salinan keputusan SPM di kaunter LP adalah seperti berikut:

  1. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau selepas 1994 – satu (1) jam
  2. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau sebelum 1993 – tujuh (7) hari bekerja

B. Kiriman Pos

Pemohon juga boleh menggunakan khidmat pos laju untuk mendapatkan salinan keputusan SPM mereka. Pemohon perlu mengemukakan dokumen seperti berikut semasa membuat permohonan.

  1. Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96a yang lengkap diisi
  2. Kiriman Wang / Wang Pos berjumlah RM30.00 ke atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA
  3. Salinan kad pengenalan pemohon yang disahkan
  4. Salinan keputusan SPM yang disahkan jika ada
  5. Sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran salinan keputusan SPM

Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1/96a dan Surat Perlantikan Wakil LP/SIJIL/Pin 1/96c boleh dimuat turun melalui laman web LP di lp.moe.gov.my. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar bersama dokumen yang diperlukan melalui pos ke alamat:

PENGARAH PEPERIKSAAN
LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 10, BLOK E 11, KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA

Semua permohonan melalui pos akan diproses dalam masa tujuh (7) hari bekerja tanpa mengira hari perjalanan pos. Sebarang maklumat penting tentang panduan permohonan salinan keputusan SPM adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, calon disarankan mendapatkan maklumat di Unit Pensijilan, Lembaga Peperiksaan di talian 03-8884 3526/3528.