Pendaftaran KWSP (Majikan)

Pendaftaran KWSP (Majikan) boleh dilakukan secara terus di mana-mana pejabat dan kios KWSP yang berdekatan. Untuk makluman majikan, Akta KWSP 1991 pada Seksyen 41(1) telah mewartakan bahawa majikan perlu mendaftar dengan KWSP dalam tempoh 7 hari dari hari pertama mengambil pekerja pertamanya. Oleh yang demikian, majikan dikehendaki mendaftar dengan KWSP mengikut cara yang telah ditetapkan oleh Lembaga KWSP. Halaman ini menyediakan maklumat dan panduan penting pendaftaran KWSP bagi rujukan majikan.

Kategori-kategori Majikan

Sebelum membuat pendaftaran, majikan dinasihati supaya mengenalpasti kategori-kategori majikan yang ada bagi tujuan memudahkan urusan pendafataran KWSP. Berikut adalah senarai kategori majikan sedia ada:

  • Majikan Sektor Awam
    Majikan sektor awam adalah merujuk kepada majikan di Jabatan Pentadbiran di bawah Kerajaan Malaysia, Sekolah-sekolah Kerajaan/Institut Pengajian Tinggi Awam, Badan-badan Berkanun, Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Awam.
  • Majikan Sektor Swasta
    Majikan sektor swasta adalah majikan dari Syarikat Sdn Bhd yang berdaftar dengan SSM, Perniagaan yang berdaftar dengan SSM, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Bank-bank yang diluluskan oleh Bank Negara.
  • Majikan Badan Profesional/Pertubuhan/Persatuan/Koperasi Dan Lain-Lain (Non-SSM)
    Majikan badan profesional/pertubuhan/persatuan/koperasi dan lain-lain (Non-SSM) adalah majikan seperti Firma Guaman/Arkitek/Akauntan, Pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Persatuan-persatuan Sukarela/Non-profit/NGO, Pertubuhan-pertubuhan Politik/Sukan dan Suruhanjaya Koperasi yang berdaftar dengan KPDNKK.

Panduan Pendaftaran KWSP (Majikan)

Majikan perlu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan di kaunter KWSP yang berdekatan atas tujuan pendaftaran sebagai majikan KWSP. Berikut dikongsikan maklumat pendaftaran untuk rujukan majikan.

a. Majikan Sektor Awam

Panduan pendaftaran bagi majikan di sektor awam adalah berikut:

  1. Pergi terus ke kaunter KWSP yang berdekatan.
  2. Lengkapkan Borang KWSP 1 yang boleh didapati di mana-mana kaunter KWSP atau di pautan ini http://www.kwsp.gov.my/o/kwsp-theme/css/assets/pdf/KWSP_1__-_LULUS_LOGO_BARU_01012017.pdf.
  3. Serahkan Borang KWSP 1 yang telah lengkap diisi bersama satu salinan kad pengenalan majikan (Pengarah/Ketua Jabatan) kepada petugas untuk membuat pendaftaran.
  4. Dapatkan nombor rujukan, notis pendaftaran dan sijil pendaftaran untuk rujukan majikan. Pastikan majikan mempamerkan sijil pendaftaran sebagai majikan di premis majikan.

b. Majikan Sektor Swasta

Panduan pendaftaran bagi majikan sektor swasta adalah berikut:

  1. Pergi terus ke kaunter KWSP yang berdekatan.
  2. Lengkapkan Borang KWSP 1 dan Borang 49/Superform yang boleh didapati di mana-mana kaunter KWSP.
  3. Serahkan Borang KWSP 1 dan Borang 49/Superform yang telah lengkap diisi bersama satu salinan Sijil Pendaftaran Syarikat/ Pendaftar Perniagaan dari SSM ataupun satu salinan kad pengenalan/pasport pemilik tunggal/rakan kongsi/pengarah kepada petugas untuk membuat pendaftaran.
  4. Dapatkan nombor rujukan, notis pendaftaran dan sijil pendaftaran untuk rujukan majikan. Pastikan majikan mempamerkan sijil pendaftaran sebagai majikan di premis majikan.

c. Majikan Badan Profesional/Pertubuhan/Persatuan/Koperasi Dan Lain-Lain (Non-SSM)

Panduan pendaftaran adalah seperti berikut:

  1. Pergi terus ke kaunter KWSP yang berdekatan.
  2. Lengkapkan Borang KWSP 1 yang boleh didapati di mana-mana kaunter KWSP atau di pautan ini http://www.kwsp.gov.my/o/kwsp-theme/css/assets/pdf/KWSP_1__-_LULUS_LOGO_BARU_01012017.pdf.
  3. Serahkan Borang KWSP 1 yang telah lengkap diisi bersama satu salinan Salinan Sijil Pendaftaran Badan Profesional/Pertubuhan/Persatuan/Koperasi dan lain-lain, satu salinan kad pengenalan/pasport majikan, dan senarai keanggotaan jawatankuasa Badan Profesional/Pertubuhan kepada petugas untuk membuat pendaftaran.
  4. Dapatkan nombor rujukan, notis pendaftaran dan sijil pendaftaran untuk rujukan majikan. Pastikan majikan mempamerkan sijil pendaftaran sebagai majikan di premis majikan.

Nota: majikan boleh memohon lebih daripada satu nombor rujukan bagi memudahkan pembayaran caruman bulanan. Permohonan boleh dibuat secara terus semasa mengemukan pendaftaran KWSP majikan.

Pengaksesan Akaun KWSP (Majikan)

Majikan boleh mengakses akaun KWSP mereka dengan cara atas talian/online melalui i-Akaun(Majikan) KWSP atau secara terus di mana-mana kaunter/kiosk KWSP yang berdekatan. Semakan melalui i-Akaun memerlukan pendaftaran terlebih dahulu sebelum dapat mengakses akaun. Panduan pendaftaran dikongsikan pada halaman i-Akaun(Majikan) KWSP.

Panduan Pendaftaran Pekerja KWSP (Majikan)

Bagi pekerja yang belum mendaftar KWSP, majikan dipertanggungjawabkan untuk membuat pendaftaran. Terdapat pelbagai kaedah bagi mendaftar pekerja anda. Berikut dikongsikan kaedah – kaedah sedia ada untuk rujukan majikan.

  • Pendaftaran Ahli Melalui i-Akaun(Majikan) KWSP
    Kaedah ini hanya boleh digunakan bagi pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang mempunyai MyKad.
  • Pendaftaran Secara Auto Melalui Borang Caruman Bulanan (Borang A)
    Kaedah ini hanya boleh digunakan untuk pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang mempunyai MyKad.
  • Pendaftaran Melalui Borang
    Untuk pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia, salinan kad pengenalan dan Borang KWSP 3 diperlukan. Manakala bagi pekerja yang bukan warganegara dan pemastautin tetap Malaysia, pasport atau permit kerja yang sah atau visa, Borang KWSP 16B dan Borang KWSP 3 adalah diperlukan.
  • Pendaftaran Sendiri Oleh Pekerja
    Kaedah ini memerlukan pekerja menghadirkan diri ke kaunter KWSP. Panduan pendaftaran boleh dirujuk di halaman Pendaftaran KWSP (Ahli).

Sebarang maklumat penting tentang Pendaftaran KWSP (Majikan) adalah tertakluk kepada pindaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, majikan disarankan mendapatkan maklumat di pusat pengurusan EPF KWSP melalui talian 03-8922 6000 atau melalui pautan http://www.kwsp.gov.my/en/reach-us/connect-with-us/make-an-enquiry.