Kaedah Pengiraan Bil Elektrik TNB

Kaedah pengiraan bil elektrik TNB bagi pengguna domestik adalah dengan menggunakan blok dan kadar tarif yang ditetapkan. Berikut dikongsikan kaedah pengiraan bil elektrik TNB bagi rujukan pengguna.

Blok dan Kadar Tarif Elektrik

Pengiraan kadar tarif adalah berdasarkan 5 peringkat blok tarif. Berikut adalah blok tarif dan kadarnya bagi rujukan pengiraan bil elektrik TNB.

Sumber: Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Langkah Pengiraan Kadar Penggunaan Elektrik TNB

Langkah pengiraan jumlah kadar penggunaan elektrik TNB bagi pengguna domestik adalah seperti berikut:

Blok Tarif Peringkat Pertama

200 unit (kWj) pertama dikira dengan kadar RM0.218/seunit. Jumlah keseluruhan 200 unit (kWj) dalam blok ini jika digunakan sepenuhnya adalah sebanyak RM 43.60. Sekiranya anda menggunakan lebih daripada 200 unit (kWj), unit berikutnya akan dibawa ke peringkat seterusnya.

Blok Tarif Peringkat Kedua

Penggunaan elektrik yang melebihi dari 200 unit (kWj) akan ditarifkan dalam peringkat ini, namun terhad kepada 100 unit (kWj) sahaja. Di mana kadar tarif peringkat ini adalah RM 0.334/seunit. Sekiranya penggunaan elektrik digunakan sepenuhnya dalam peringkat ini, jumlah kadarnya adalah sebanyak RM 33.40. Keseluruhan bil sekiranya penggunaan elektrik sebanyak 300 unit (kWj) adalah: RM 43.60 + RM 33.40 = RM 77.00

Blok Tarif Peringkat Ketiga

Penggunaan elektrik yang melebihi dari 300 unit (kWj) akan ditarifkan dalam peringkat ketiga, namun terhad kepada 300 unit (kWj) sahaja. Kadar tarif pada blok ini adalah RM 0.516/seunit. Sekiranya penggunaan elektik digunakan sepenuh dalam peringkat ini, jumlah kadarnya adalah sebanyak RM 154.80. Keseluruhan bil sekiranya penggunaan 600 unit (kWj) adalah: RM 43.60 + RM 33.40 + RM 154.80 = RM 231.80

Blok Tarif Peringkat Keempat

Penggunaan elektrik melebihi dari 600 unit (kWj) akan ditarifkan dalam peringkat keempat, namun terhad kepada 300 unit (kWj) sahaja. Kadar tarif pada blok ini adalah RM 0.546/seunit. Sekiranya penggunaan elektik digunakan sepenuh dalam peringkat ini, jumlah kadarnya adalah sebanyak RM 163.80. Keseluruhan bil sekiranya penggunaan 900 unit (kWh) adalah: RM 43.60 + RM 33.40 + RM 154.80 + RM 163.80 = RM 395.60

Blok Tarif Peringkat Kelima

Penggunaan elektrik melebihi dari 900 unit (kWj) akan ditarifkan dalam peringkat ini di mana semuanya akan dikadarkan pada RM 0.571/seunit. Tidak had unit dalam peringkat ini. Untuk melihat cara jumlah keseluruhan bil bagi penggunaan melebihi 900 unit, sila rujuk contoh bil dibawah.

Contoh: Penggunaan elektrik adalah sebanyak 1400 unit.

Penggunaan elektrik sebanyak 900 unit (kWj) pertama dikira dengan mengikuti langkah seperti di atas dan penggunaan elektrik selepas 900 unit (kWj) dikira dalam peringkat terakhir. Jumlah kadar 500 unit (kWj) terakhir ini adalah RM 285.50. Jadi, keseluruhan bil bagi penggunaan 1400 unit (kWj) adalah: RM 43.60 + RM 33.40 + RM 154.80 + RM163.80 + RM 285.50 = RM 681.10

Langkah Pengiraan Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST)

Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST) akan dikira untuk bil-bil domestik dengan jumlah penggunaan melebihi 600 unit (kWj), iaitu lebih daripada RM 231.80 bermula pada 1 September 2018. Sekiranya jumlah penggunaan elektrik anda tidak melebihi 600 unit (kWj), anda tidak dikenakan cukai SST jika tempoh pembilan anda adalah 28 hari dan ke atas. Walau bagaimanapun, jika tempoh pengambilan adalah kurang dari 28 hari, cukai SST akan dikenakan terhadap keseluruhan unit penggunaan anda.

Contoh: Penggunaan elektrik adalah sebanyak 1400 unit.

Pengiraan cukai SST adalah dengan menggunakan kadar penggunaan selepas 600 unit (kWj) pertama. Jumlah cukai SST adalah: 6% x ( RM163.80 + RM285.50) = RM26.96

Langkah Pengiraan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB)

Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) adalah dana yang akan digunakan untuk menggalakan pembangunan penjanaan tenaga elektrik dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy). Kutipan dana ini dilaksanakan melalui surcaj 1.6% bermula pada 1 Januari 2014, yang dikenakan terhadap penggunaan tenaga elektrik oleh semua pengguna TNB kecuali pengguna Domestik dengan penggunaan sebulan 300kWh dan ke bawah. Surcaj ini akan dinamakan ‘Dana Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu’ dan akan dipaparkan dalam bil pengguna mulai 1 Disember 2011.

Contoh: Penggunaan elektrik adalah sebanyak 1400 unit.

Jumlah KWTBB adalah: 1.6% x Jumlah Kadar Penggunaan Elektrik, RM 681.10 = RM10.90

Jumlah Pembayaran Bil Elektrik TNB

Jumlah pembayaran bil elektrik TNB bagi pengguna domestik adalah: Jumlah Kadar Penggunaan Elektrik + Jumlah Cukai SST + Jumlah KWTBB.

Contoh: Penggunaan elektrik adalah sebanyak 1400 unit.

Jumlah Pembayaran Bil Elektrik = RM681.10 + RM26.96 + RM10.90 = RM718.96

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang pengiraan penggunaan bil elektrik TNB, pengguna disaran untuk mendapatkan maklumat dengan melayari laman sesawang TNB di www.tnb.com.my/prihatin atau e-mel [email protected] atau menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau mengunjungi mana-mana Kedai Tenaga berhampiran.