Rumusan Pakej PRIHATIN Tambahan

Rumusan Pakej PRIHATIN Tambahan. Pakej PRIHATIN Tambahan telah dibentangkan pada 6 April 2020 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana pakej ini dirangka bagi memastikan dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan. Halaman ini menyediakan ringkasan Pakej PRIHATIN Tambahan untuk rujukan pembaca.

Rumusan Pakej PRIHATIN Tambahan

Pakej PRIHATIN Tambahan ini adalah khusus untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta perusahaan mikro. Berikut dikongsikan pakej PRIHATIN Tambahan bagi meringankan beban kewangan perusahaan.

A. Bantuan Subsidi Upah 

Semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

  1. Subsidi upah sebanyak RM600 untuk setiap pekerja bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi adalah 200 orang pekerja.
  2. Subsidi upah sebanyak RM800 untuk setiap pekerja bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang.
  3. Subsidi upah sebanyak RM1, 200 untuk setiap pekerja bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang.

Bantuan ini diperuntukkan selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan juga telah mendaftar dengan PERKESO. Untuk peruntukan ini, majikan disyaratkan untuk mengekalkan pekerjanya, minimum selama 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

B. Geran Khas PRIHATIN

Kerajaan juga menyediakan Geran Khas berjumlah RM3,000 untuk setiap syarikat mikro. PKS mikro boleh mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan Geran Khas PRIHATIN ini.

C. Moratorium Bayaran Asuran oleh Organisasi Pemberi Peminjam Wang Berdaftar

Kerajaan juga menyeru Organisasi Pemberi Pinjam Wang Berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020.

Selain bantuan kewangan, kerajaan juga akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada bantuan kewangan seperti di atas. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah:

  1. Pemansuhan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro di bawah Bank Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 bagi setiap syarikat dengan kadar faedah 0%. Pengusaha syarikat hanya dibenarkan untuk memohon atau mendapatkan salah satu skim sahaja.
  2. Pengecualian bayaran sewa / pemberian diskaun sewaan bagi peniaga runcit PKS yang menyewa premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan. Kerajaan juga menggesa pemilik premis swasta untuk turut melaksanakan kemudahan yang sama sekurang-kurangnya semasa waktu PKP dan 3 bulan selepas PKP berakhir. Pemilik premis swasta akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020. Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut.
  3. Pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25% kepada syarikat yang permit pekerjanya tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020. Pengurangan ini tidak boleh diguna pakai untuk pembantu rumah.

Tambahan lagi, kerajaan juga memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP bagi pihak syarikat yang mengalami kesukaran untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP.

Akhir sekali, kerajaan memberikan kelonggaran tempoh penyerahan dan penyimpanan penyata kewangan syarikat yang mana ia dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP. Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019 dan kelonggaran ini boleh dipohon daripada SSM di mana tiada fi penghantaran lewat dikenakan ke atas permohonan berkenaan.

Sumber: Pejabat Perdana Menteri Malaysia

Menerusi Pakej PRIHATIN TAMBAHAN ini, kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat melindungi pekerjaan pekerja di samping menjamin daya tahan perniagaan. Kerajaan juga akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal.


Anda suka artikel ini?
page Facebook kami untuk mendapatkan maklumat terkini.
Kongsi artikel ini kepada rakan anda: