Novel coronavirus yang dinamakan sebagai Covid-19 telah mula dikesan di Wilayah Wuhan, China. Covid-19 ini adalah jenis coronavirus baru yang berlainan dalam keluarga coronavirus yang bertanggungjawab terhadap wabak seperti SARS pada tahun 2002 dan MERS-Cov pada tahun 2012. Covid-19 ini boleh merebak dengan cara titisan air dari batuk atau bersin orang yang dijangkiti Covid-19. Simptom jangkitan Covid-19 ini banyak berkaitan dengan gejala jangkitan saluran pernafasan. Halaman ini menyediakan maklumat penting tentang Novel Coronavirus (Covid-19) bagi rujukan semua. Untuk makluman semua, maklumat ini disedia berdasarkan sumber dari Portal Rasmi Virtual Health Advisory Novel Coronavirus (Covid-19) dan Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Gejala Jangkitan Am Novel Coronavirus (Covid-19)
Gejala jangkitan Am Covid-19 adalah seperti Demam, Batuk dan Sakit Tekak. Walau bagaimanapun, segelintir pesakit mungkin mempunyai gejala lain termasuk sesak nafas, berasa lenguh, sakit badan dan keletihan. Selain itu, ada juga individu yang akan mengalami cirit-birit, muntah atau selsema apabila mereka dijangkiti Covid-19.
Langkah – Langkah Pencegahan Jangkitan Coronavirus
Orang ramai diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
- Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer)
- Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu
- Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala
- Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan
- Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna;
- Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut.
Situasi Terikini Covid-19
Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini Covid-19 pada setiap hari melalui laman Facebook Rasmi KKM atau melalui laman Situasi Terkini Covid-19 menerusi pautan ini https://www.kelajuancahaya.com/informasi/situasi-terkini-covid-19-29-mac-2020/.
Hubungi KKM
Sekiranya anda tidak sihat atau mengalami gejala jangkitan seperti dinyatakan, orang ramai boleh menghubungi atau pergi terus ke klinik atau hospital berhampiran untuk tindakan lanjut. Nombor telefon serta senarai klinik/hospital yang perlu dijuruk boleh didapati di halaman virtual health advisory.
Sebarang maklumat berkaitan Novel Coronavirus (Covid-19) adalah tertakluk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang Novel Coronavirus (Covid-19), orang ramai adalah dinasihati untuk melayari laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagi sebarang pertanyaan berkenaan penyakit Covid-19, orang ramai boleh menghubungi Talian Hotline COVID-19 ditalian +60388810200 / +60388810600 / +60388810700 atau menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghantar pertanyaan/pemberitahuan melalui whatsapp ditalian +6010-9699435 / +6010-8608949.